4 Jun 2022 - Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN) telah menganjurkan program Kenali Taman Negeri Terengganu South Chapter 2022 bermula pada 2 hingga 4 Jun 2022. Program yang berkonsep aktiviti konvoi bermotosikal promosi ini adalah sebagai platform untuk memberikan hebahan dan maklumat berkaitan produk Taman-Taman Negeri Terengganu serta memberikan kesedaran awam kepada umum tentang pentingnya alam semulajadi kepada manusia dan tanggungjawab untuk melindunginya perlu dipikul bersama. Program ini juga adalah susulan daripada penganjuran tahun 2021, Kenali Taman Negeri Terengganu ‘One Round Terengganu’.
YBM Tengku Seri Bijaya Raja, Setiausaha Kerajaan Terengganu merangkap Pengerusi Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN) telah membuat pelepasan Konvoi motosikal KTNT South Chapter 2022 ini pada 2 Jun 2022 bermula di Wisma Darul Iman. Konvoi ini juga turut mengiringi YBM Tengku Seri Bijaya Raja, Setiausaha Kerajaan Terengganu ke program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Terengganu dan seterusnya meneruskan perjalanan konvoi.
Konvoi selama 3 hari 2 malam ini yang diketuai oleh YM Tengku Mohd Arifin Bin Tengku Dato’ A. Rahman, Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu telah merangkumi beberapa buah negeri iaitu Pahang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka & Johor dengan perjalanan sejauh 1,517 km. Di setiap hentian, peserta konvoi berserta pasukan promosi telah melakukan aktiviti hebahan dan telah mendapat sambutan yang baik.
Program ini juga telah mendapat kerjasama erat daripada Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, KETENGAH, PDRM, Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu, Majlis Daerah Marang (MDM) serta agensi negeri di persinggahan konvoi.