Setiu Wetlands, 5 Feb - Sempena sambutan World Wetlands Day 2022 yang diraikan pada 2 Feb setiap tahun, MPTN telah menganjurkan buat kali ke-2 Sambutan World Wetlands Day 2022 bertempat di Jeti Kg Gong Batu, Setiu.
Setiu Wetlands, 5 Feb - Sempena sambutan World Wetlands Day 2022 yang diraikan pada 2 Feb setiap tahun, MPTN telah menganjurkan buat kali ke-2 Sambutan World Wetlands Day 2022 bertempat di Jeti Kg Gong Batu, Setiu. Program tersebut telah dirasmikan oleh YM Tun Ahmad Faisal Bin Tun Abdul Razak, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), mewakili YBM Tengku Seri Bijaya Raja, Setiausaha Kerajaan Terengganu dan turut serta bersama YBrs Tuan Haji Rosli Bin Latif, Pegawai Daerah Setiu, YBrs Tuan Haji Ishamudin Bin Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, YBrs Encik Ahmad Rizal Bin Mamat, YDP Majlis Daerah Setiu dan YM Tengku Mohd Arifin Bin Tengku Dato’ A. Rahman, Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu. Penganjuran pada kali ke – 2 ini telah memilih lokasi Jeti Kg. Gong Batu yang lebih sinonim dengan tema sambutan World Wetlands Day 2022 iaitu, Wetlands Action For People And Nature. Pemilihan ini juga diharap sebagai satu suntikan agar lokasi ini lebih dikenali dan berdaya eko pelancongan serta lebih bersedia dan selari dengan pembangunan tambahan boardwalk Taman Negeri Setiu Wetlands yang yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Projek ini akan menghubungkan Boardwalk Pengkalan Gelap dengan Jeti Kg Gong Batu. Ini dijangka akan dapat memberi pengalaman baru kepada pengunjung untuk menikmati keunikan yang ada seterusnya merangsang kepada ekonomi tempatan. Sambutan World Wetlands Day 2022 pada tahun ini juga turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada EPIC Berhad sebagai rakan kerjasama dalam menganjurkan Sambutan World Wetlands Day 2022 ini. Ini merupakan langkah yang positif serta proaktif daripada pihak korporat swasta seperti EPIC Berhad dan diharap menjadi ikutan kepada pihak korporat swasta yang lain, yang mana tanggungjawab dalam pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah alam semulajadi kita ini adalah tanggungjawab bersama. Program turut dimeriahkan dengan acara Wetlands Walk For Fun Setiu dengan penyertaan lebih daripada 150 orang peserta, Eksplorasi Setiu Wetlands yang diserta agensi kerajaan serta komuniti setempat seramai 40 orang serta Selera Setiu Wetlands yang menampilkan 9 kampung di sekitar Taman Negeri Setiu Wetlands bagi mempersembahkan masakan tempatan komuniti Setiu Wetlands. YM Tun Ahmad Faisal Bin Tun Abdul Razak, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) turut sama melakukan aktiviti berkayak diperairan Sungai Setiu sehingga ke Boardwalk Taman Negeri Setiu Wetlands. Beliau bersama para jemputan yang lain turut singgah di sangkar ternakan ikan untuk melakukan aktiviti catch and release sebagai mempromosikannya kepada umum. Kemuncak kepada program Sambutan World Wetlands Day 2022 ini, YM Tun Ahmad Faisal Bin Tun Abdul Razak, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) mewakili YBM Tengku Seri Bijaya Raja, Setiausaha Kerajaan Terengganu telah merasmikan program tersebut seterusnya melancarkan buku Setiu Wetlands - A Celebration Of Nature & Culture yang diterbitkan Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu dengan kerjasama pihak Petronas dan juga Universiti Malaysia Terengganu.