Sebahagian besar kawasan Taman Negeri Kenyir masih lagi dalam keadaan semulajadi. Dengan keluasan 30,000 hektar, Taman Negeri Kenyir kaya dengan pelbagai flora dan fauna termasuklah tumbuhan-tumbuhan kecil dan besar, mamalia, burung-burung dan pelbagai jenis ikan. Flora yang dijumpai di Taman Negeri Kenyir juga adalah sumber produk perubatan, rekreasi dan juga mempunyai nilai-nilai budaya dan spiritual. Taman Negeri Kenyir juga amat penting bagi dua suku komuniti Orang Asli iaitu, Orang Bateq Kuala Koh dan Orang Semaq Beri Sungai Berua. Malahan, Taman Negeri Kenyir juga adalah kawasan tadahan untuk mengelakkan banjir, hakisan tanah dan kawasan tadahan untuk sumber air minuman.