Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu telah dijemput oleh Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar & Konservasi Tumbuhan, Thailand bersama dengan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar & Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia menghadiri Bilateral Meeting - Strengthening Transboundary Collaboration On Combatting Wildlife Crime Between Thailand And Malaysia yang berlangsung pada 8 - 10 Mei 2023 bertempat di Siam Oriental Hotel, Hatyai, Thailand. Penyertaan MPTN yang diketuai oleh YM Tengku Mohd Arifin Bin Tengku Dato’ A. Rahman, Pengarah MPTN bersama dengan Dato’ Fakrul Hatta Bin Musa, Timbalan Ketua Pengarah PERHILITAN sebagai Ketua Delegasi Malaysia serta pihak daripada Perbadanan Taman Negeri Perak, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah dan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar PDRM telah menjadikan platform ini sebagai asas untuk perbincangan berkaitan perlindungan hidupan liar antara kedua-dua negara. MPTN juga menjadikan ia sebagai asas untuk menimba pengalaman atas kaedah dan pelaksanaan berkaitan Penguatkuasaan & Perlindungan dalam menangani jenayah hidupan liar di kawasan perlindungan.
Pengarah MPTN juga telah menyuarakan beberapa pandangan dan cadangan dalam usaha untuk menjadikan langkah dan usaha perlindungan ini memberi kesan yang positif kepada kedua-dua pihak terutamanya dari aspek peruntukan dan pertukaran teknologi di antara dua negara yang secara tidak langsung akan memberikan manfaat yang baik kepada negeri yang terbabit.