14 & 15 Julai 2023 - Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN) telah mengambil inisiatif menganjurkan program mini Alami Budaya Setiu Wetlands pada 14 & 15 Julai 2023 bertempat di Boardwalk Taman Negeri Setiu Wetlands, Kg Pengkalan Gelap, Setiu, Terengganu. Program ini merupakan satu filler atau pengisian serta pengantian kepada Festival Setiu Wetlands 2023 yang ditunda kepada tarikh lain bagi mengekalkan momentum dan impak penganjuran acara di Taman Negeri Setiu Wetlands.
MPTN melihat keunikan budaya komuniti Setiu Wetlands perlu ditonjolkan kepada umum agar ia menjadi nilai tambah dalam mengimarahkan lagi suasana di Setiu Wetlands yang mana komuniti dan alam sentiasa memerlukan antara satu sama lain bukan sahaja untuk kelangsungan hidup tetapi juga untuk kerohanian. Kerana itu, program Alami Budaya Setiu Wetlands ini dicadangkan bagi memperlihatkan kepada umum akan budaya komuniti ini menjadi asas kepada memupuk semangat cintakan alam semulajadi bagi tujuan pemeliharaan dan pemuliharaan alam.
Program tersebut telah menampilkan pelbagai seni budaya dari Daerah Setiu dan Setiu Wetlands seperti 10 persilatan dari Daerah Setiu, permainan gasing, permainan wau, produk makanan, permainan sukan rakyat, pameran busana dan senjata Melayu. Alami Budaya Setiu Wetlands yang bermula pada jam 9.00 pagi telah menarik hampir 1,000 orang pengunjung dari sekitar Setiu Wetlands.
Majlis Perasmian yang berlangsung pada 14 Julai 2023, jam 9.00 malam telah disempurnakan oleh YBhg Dato’ Tun Ahmad Faisal Bin Tun Abdul Razak, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu bagi mewakili YBM Tengku Seri Bijaya Raja, Setiausaha Kerajaan Terengganu. YBhg Dato’ turut diiringi oleh YM Tengku Mohd Arifin Bin Tengku Dato’ A. Rahman, Pengarah MPTN bersama Yang DiPertua Majlis Daerah Setiu, Ketua Polis Daerah Setiu dan Ketua Penolong Pegawai Daerah yang mewakili Pegawai Daerah Setiu segak lengkap berpakaian busana Melayu seiring dengan konsep Alami Budaya Setiu Wetlands. Di dalam ucapan perasmian beliau, YBhg Dato’ telah menekankan kepada tiga teras iaitu; Terengganu Cantik, Budaya Menarik & Orangnya Baik-Baik bagi menjadikan Alami Budaya Setiu Wetlands ini sebagai produk eko-pelancongan dari Setiu Wetlands bersama MPTN sebagai nilai tambah kepada Beautiful Terengganu Malaysia.
Sebelum pada majlis perasmian tersebut, YM Tengku Mohd Arifin Bin Tengku Dato’ A. Rahman, Pengarah MPTN telah mengadakan satu sesi walkabout yang diiringi oleh pegawai MPTN dan wakil komuniti dalam melihat aktiviti yang berjalan untuk Alami Budaya Setiu Wetlands serta persiapan yang dilakukan untuk majlis perasmian. YM Pengarah turut sempat sama bermain gasing bersama komuniti serta menyampaikan hadiah untuk permainan rakyat yang telah berlangsung.