18 Februari 2023 - Delegasi daripada Jabatan Penyiaran Malaysia yang diketuai oleh YBrs. Puan Nor’ Ain Bin Haji Bakir, Pengarah Bahagian Program Radio RTM bersama dengan Pengarah Negeri Terengganu, Pahang dan Kelantan, telah mengadakan satu lawatan kerja ke Taman Negeri Setiu Wetlands bagi program Eko Pelancongan Setiu Wetlands sempena Program ‘Jembe Teganu Kita’. Ia adalah rentetan daripada program selama 2 hari bermula daripada 17 dan 18 Februari 2023 yang telah diadakan di Warung Bangsal Buluh, Desa Pancaran Dilema, Kampung Mangkuk, Setiu, Terengganu.
Delegasi tersebut disambut oleh YBrs En Ahmad Rizal Bin Mamat, Pegawai Daerah Setiu bersama YM Tengku Mohd Arifin Bin Tengku Dato’ A. Rahman, Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN).
Delegasi telah dibawa menaiki bot menelusuri sungai di persekitaran Taman Negeri Setiu Wetlands seterusnya sempat singgah di sebuah sangkar ikan yang terdapat di perairan Kg. Gong Batu bagi melihat dan merasai sendiri pengalaman memancing ikan siakap.
Delegasi seterusnya dibawa ke Taman Negeri Setiu Wetlands dimana aktiviti penanaman pokok diadakan sebagai simbolik kepada kempen penanaman pokok bagi menyokong tema sambutan World Wetlands Day 2023 iaitu “Wetlands Restoration”.
Para delegasi kemudian dibawa melalui boardwalk dan diberi penerangan berkaitan keunikan Taman Negeri Setiu Wetlands serta khazanah alam semulajadi yang ada di sekitarnya.